Syawal: Kembali Kepada Fitrah, Bukan Kepada Maksiat. Pejam celik, Ramadan bakal melabuhkan tirainya. Debaran Syawal semakin terasa. Tapi sebelum kita melangkah masuk ke gerbang hari kemenangan, mari kita pasak semula niat dalam hati. Hari Raya bukan sekadar pesta makan, baju sedondon atau peluang membuat 'content' viral. Hari Raya adalah Hari Kemenangan bagi mereka yang berjaya mendidik nafsu sepanjang Ramadan. Ia adalah hari kesyukuran atas nikmat iman dan taqwa. Tujuannya? Untuk kembali kepada fitrah (suci). Bukan untuk kembali kepada maksiat yang kita tinggalkan sebulan lalu. Berhenti Ikut Trend "Gila-Gila". Sekarang ni, trend media sosial makin pelik. Hilang rasa malu. Jangan kerana nak raih likes, kita sanggup berjoget sakan depan kamera semata-mata demi view. Jangan kerana nak ikut trend, maruah keluarga digadaikan dengan aksi yang tidak senonoh (soft-porn/gedik) yang kononnya "gurauan". Wahai Suami & Ayah. Anda Adalah Nakhoda! Di sinilah peranan ketua keluarga diuji. Anda bukan sekadar pemberi nafkah atau pemandu kereta pulang ke kampung. Anda adalah pemimpin (Qawwam) yang akan ditanya di akhirat kelak tentang maruah anak bini. Tegur jika pakaian anak isteri tidak patuh syariat. Halang jika mereka mahu buat content yang menjatuhkan maruah keluarga. Jaga batas pergaulan dengan sepupu-sepapat atau ipar-duai (ikhtilat). Jadilah pelindung, bukan penonton yang membiarkan ahli keluarga hanyut dalam arus kemaksiatan moden. Biar kita tak nampak "cool" di mata netizen, asalkan kita dipandang mulia di mata Allah. Jangan biarkan pahala Ramadan yang kita bina sebulan hangus dalam satu hari Syawal hanya kerana mengejar trend yang menyimpang. Raya biar beradab, bukan biadap. Raya biar berkat, bukan buat maksiat. Wallhu A'lam Kredit : Firdaus Ismail (Feed generated with FetchRSS)-https://tinyurl.com/23phorvk WARDAHMEDIA4UFri Mar 20 2026
Post a Comment
0 Comments