ADUN Tepoh Jelaskan Fakta Sebenar Projek Kawalan Hakisan Pantai Mengabang Telipot KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, tampil menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan projek Pengawalan Hakisan Pantai di Mengabang Telipot, susulan tuduhan yang tular di media sosial. Beliau berkata, dakwaan seorang pengguna media sosial yang mengaitkan pelantikannya dengan kerja-kerja projek tersebut adalah tidak tepat dan memberikan gambaran mengelirukan kepada masyarakat. Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Pelantikan Secara Terbuka Menurut Hishamuddin, GPQ Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Terengganu Inc. yang beroperasi dalam sektor pembinaan dan berstatus GLC Kerajaan Negeri. Beliau dilantik sebagai Pengerusi GPQ Sdn Bhd pada 1 April 2024, dan maklumat itu dipaparkan secara rasmi dan terbuka di laman sesawang syarikat. "Tiada apa yang disembunyikan. Jawatan itu merupakan amanah untuk memastikan syarikat dapat bergerak dengan lebih baik selaras dengan peranan GLC negeri," katanya. Projek Bernilai RM69.9 Juta, Kemajuan Mengatasi Jadual Projek Pengawalan Hakisan Pantai Mengabang Telipot dianugerahkan pada 24 Julai 2023 dengan nilai keseluruhan RM69,917,195.00. Ia melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak serta kerja-kerja penambakan pasir sepanjang kira-kira 8 kilometer, bermula dari kawasan Kedai Pok Nong ICT sehingga belakang INSTEP. Tarikh siap projek ditetapkan pada 14 Januari 2027, termasuk lanjutan masa yang dibenarkan. Setakat 23 November 2025, kemajuan kerja mencatat 50.28 peratus, iaitu melebihi jadual asal 47.57 peratus. Kerja Dihenti Sementara Akibat Musim Tengkujuh Ujarnya, semua kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara semasa Musim Tengkujuh (MTL) selaras arahan Jabatan Laut Malaysia yang mengawal selia keselamatan di kawasan pantai. Kerja dijangka bersambung kembali tahun depan selepas kelulusan keselamatan diberikan. JPS Keluarkan Surat Penghargaan Prestasi Projek Menurutnya, pada 4 November 2025, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan Surat Penghargaan Kemajuan Positif Prestasi Projek, susulan prestasi baik dan peningkatan operasi di tapak. "Ini membuktikan projek berjalan dengan baik dan dipantau secara profesional oleh pihak berkuasa," jelas Hishamuddin. Operasi Diperhebat Untuk Percepat Kemajuan Beliau memaklumkan, GPQ menggunakan lima buah barge/tongkang untuk membawa batu dari Kemaman dan Paka, selain pembekalan melalui darat dari GPQ Kuari Sungai Serai dan Kuari Lundang di Batu Rakit. Sebanyak 13 unit excavator turut digunakan, termasuk mesin tambahan untuk memastikan penyenggaraan tidak menjejaskan jadual projek. Pertikai "Memalukan", ADUN Minta Penjelasan Mengulas dakwaan yang menyifatkan usaha tersebut sebagai "memalukan", beliau meminta individu terlibat menjelaskan fakta apa yang dianggap tidak wajar. "Projek ini berjalan baik, melibatkan operasi berskala besar, mendapat surat penghargaan dan mengatasi jadual. Jadi apa asas tuduhan tersebut?" katanya. Pantai Lebih Selamat Selepas Siap Hishamuddin berharap kawasan berkenaan akan menikmati manfaat yang sama seperti model pemecah ombak yang berjaya di Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Tengah. "Kita mahu pantai ini lebih stabil, selamat dan memberi kesan jangka panjang kepada penduduk serta sektor pelancongan," katanya. (Feed generated with FetchRSS)-https://tinyurl.com/2xq3fjme WARDAHMEDIA4UTue Nov 25 2025