"Allah tarik 15 nyawa untuk sedarkan kita semua" Tragedi ini adalah panggilan dari Allah untuk kebaikan hidup umatnya selepas ini. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Dia mengizinkan sesuatu berlaku agar manusia kembali merenung dan bermuhasabah. 1. Buat yang memegang kuasa – Amanahlah. Kuasamu adalah ujian. Kemudahan asas seperti jalan raya bukan perkara remeh ia menentukan keselamatan ribuan nyawa saban hari. Rakyat tidak minta yang mewah, cukup sekadar selamat dan terpelihara. Bila ada titik hitam di peta kemalangan, ia seharusnya jadi titik mula tindakan, bukan hanya selepas ada nyawa melayang baru kita sedar. Setiap lubang di jalan yang dibiarkan, setiap papan tanda yang kabur, setiap cerun yang tidak dipagar, setiap garis yang tidak kelihatan semuanya boleh menjadi penyebab duka. Maka wahai pemimpin, amanah ini bukan mainan. Ia akan dipersoal, bukan hanya di parlimen atau sidang media, tapi juga di mahkamah Allah kelak. 2. Buat yang bekerja – Telitilah. Tak kira walau apa tugasanmu, pemandu bas, jurutera penyelenggaraan, pegawai keselamatan atau pengendali kenderaan, jika tugasmu melibatkan nyawa manusia, maka hatimu mesti lebih lembut daripada brek yang kau tarik. Sedikit leka, sedikit lalai, dan mungkin satu hidup terkorban. Kerja bukan sekadar gaji. Ia adalah amanah yang disaksikan langit dan bumi. Jangan bekerja kerana takutkan CCTV semata-mata, tapi takutkan Allah yang Maha Melihat. Apabila kita bertanggungjawab, kita selamatkan bukan sahaja diri, tapi juga anak-anak orang lain yang menaruh harapan pulang ke rumah. 3. Buat kita semua – Insafilah. Hidup ini bukan hak milik kekal. Hari ini kita sihat, esok mungkin nama kita pula disebut dalam doa solat jenazah. Tragedi ini mengingatkan kita bahawa ajal tidak menunggu kita cukup umur, kahwin, habis belajar atau capai cita-cita. Maka gunalah masa yang masih bersisa ini untuk taat kepada Allah. Tutuplah aurat seperti yang diperintahkan, bukan mengikut trend atau suka hati. Dirikanlah solat tepat pada waktunya kerana ia tiang yang memisahkan kita dengan kufur. Jaga lidah, jaga hati, jaga hubungan dengan ibu bapa dan manusia sekeliling. Jangan tunggu 'nanti-nanti' kerana mungkin 'nanti' itu tidak akan datang. Setiap saat adalah peluang untuk berbuat baik hulur senyuman, minta maaf, beri bantuan, selesaikan amanah. Ketaatan bukan hanya di masjid atau bulan Ramadan, tapi dalam setiap detik kehidupan kita, ketika kita belajar, bekerja, memandu, bersosial, atau bersendirian. Mereka pergi dalam keadaan menuntut ilmu. Semoga pemergian mereka menjadi syafaat dan iktibar buat yang masih hidup. Jangan biar tragedi ini berlalu tanpa perubahan. Mereka sudah selesai menunaikan ujian dunia. Kini giliran kita adakah kita akan terus leka, atau mula berubah? Teganukita. (Feed generated with FetchRSS)-https://tinyurl.com/2yf578ya WARDAHMEDIA4UThu Jun 12 2025
Post a Comment
0 Comments