‼️ PENTING buat yang balik RAYA‼️terpaksa tidur hotel/homestay tak ada masalah tapi jangan sampai jadi tetamu di rumah ibu ayah sendiri, datang waktu makan, pampers anak tinggal dalam tandas harap orang uruskan, kasihan ibu ayah 😢 teruskan baca 👇🏻 Link 1 : https://www.facebook.com/UstazahAsmaHarun Link 2 : https://www.facebook.com/share/p/12HkXtprUsZ/ 1. Tiba musim raya, tidur di homestay atau hotel akan terus menjadi isu 'trending'. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara. Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. 2. Beraya di kampung memang seronok tapi jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik sehingga berlaku PENDEDAHAN AURAT ipar, sepupu atau biras semasa tidur memang akan mudah terpalit dosa jika tak teliti sebaiknya. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar. WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU. 3. Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung. Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. 4. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah isteri dan anak-anak. Firman Allah SWT: يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." (Surah at-Tahrim : 6) 5. Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, walaupun dah 2 tahun tak beraya dengan anak-anak, lama tak balik, maka fahami dulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dll tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri. 6. Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada. 7. Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara', bukan kerana tidak selesa dll, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati. Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga. ‼️ PENTING SANGAT BUAT ANAK-ANAK 8. Jangan jadi seperti tetamu di rumah ibu ayah sendiri, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, pampers anak pula tinggal dalam tandas harap orang uruskan, kasihan ibu ayah dan adik beradik yang memang di kampung. Sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah. Firman Allah SWT: وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra':23) - Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. - Seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ Maksudnya: "Kehinaan, kehinaan, kehinaan." Baginda ditanya: "Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga." (HR Muslim, hadis sahih) BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI 9. Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau mengatakan: مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا: لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ Maksudnya: "Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah." 10. Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah. Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka. 11. Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita. Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll. Firman Allah SWT: وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ Maksudnya: "Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita." (Surah an-Nur 24: 31) Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah 🤲🏻 Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin. SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. 😊🤲🏻🌹 Asma' binti Harun #UAHSahabatDuniaAkhirat (Feed generated with FetchRSS)-https://tinyurl.com/25t5dbr5 WARDAHMEDIA4UTue Apr 01 2025
Post a Comment
0 Comments